Khamis, 5 Ogos 2010

Program Penandaarasan Kepimpinan Pelajar

Fakulti Pendidikan UKM telah menerima kunjungan dari delegasi Institut Pendidikan Guru Batu Lintang, Sarawak pada Khamis, 5 Ogos 2010. Kira-kira 32 orang delegasi termasuk pensyarah iringan dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dari institut tersebut terlibat dalam lawatan ini bersempena program Penandaarasan Kepimpinan Pelajar yang dianjurkan oleh IPBL bagi memantapkan kemahiran mengendalikan kebajikan pelajar di institut tersebut.



Sesi dialog selama lebih kurang dua jam telah berlangsung di antara Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPBL dengan Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan; iaitu saya, Khairul Anuar bin Mat Lazim serta saudara Wan Fahmi. Antara soalan dan maklumat yang dikongsikan ialah berkisar tentang sistem pemilihan MPP di UKM, konsep MPP dan PMUKM serta pengendalian organisasi di bawah MPP.


Di akhir lawatan, delegasi ini telah di bawa untuk melihat sekitar Fakulti Pendidikan. UKM dan IPBl adalah dua buah institusi yang cukup sinonim kerana telah sekian lama menjalinkan usahasama pengajian berkembar untuk pelajar ijazah sarjanamuda Pendidikan Bahasa Inggeris dari IPBL. Diharap lawatan ini dapat meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua buah institusi pengajian ini yang bergerak seiring untuk melahirkan golongan pendidik yang berkualiti, beriman dan mahir dalam selok-belok pentadbiran organisasi.

Sekian sahaja catatan buat kali ini.. Wallahua'lam



Selasa, 27 Julai 2010

Forum Isu Pendidikan

Assalammua'laikum..
Maaf lama sudah tidak menulis pos terbaru. Kekangan masa ketika praktikal dan menguruskan hal-hal berkaitan pengajian tahun akhir. Alhamdulillah syukur, saya masih berkesempatan meluangkan masa untuk menjemput para pambaca untuk turut sama hadir ke forum isu pendidikan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar dan PENDIDIK.

Forum akan diadakan:
Tajuk: Forum Isu Pendidikan- Pendidikan Seks; Racun Atau Penawar?
Tarikh: 30 Julai 2010
Tempat: DK 43.101 Dewan Tun Abdullah M Salleh, UKM.
Masa: 8.00 mlm- 11mlm
Panelis: PM Dr. Harlina Siraj, Ustaz Mohd Zamri dan Tuan Musa Awang.
Moderator: Ust. Mohd Ajwadi.

Seluruh warga UKM; pelajar, kakitangan dan pensyarah dijemput hadir.

Adalah besar harapan kami untuk menerima kehadiran anda bagi sama-sama memantapkan ilmu dan berkongsi pendapat

Ahad, 23 Mei 2010

Pertemuan Bersama TNC HEPA UKM

UKM 23 Mei - Alhamdulillah. Saudara Fahmi (MPP Fpend 1&2) telah mengadakan pertemuan bersama TNC HEPA UKM, PRof. Dato' Dr. MOhamad Abdul Razak pada 18 Mei lepas bertujuan untuk berbincang tentang beberapa perkara berkaitan isu-isu kebajikan pelajar. Pertemuan beliau dengan TNC HEPA antara lain membincangkan masalah pelajar aktif kolej yang tidak mendapat tempat di kolej kediaman yang dipohon, serta masalah yang timbul di Fakulti Pendidikan seperti masalah pertembungan jadual kursus pelajar yang memerlukan perhatian pihak pentadbiran. Prof Dr bersetuju untuk berbincang perkara tersebut bersama pegetua2 kolej dan pihak yang berkenaan

.

Selasa, 5 Januari 2010

Kalimah Allah

5 Jan, selasa - Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) terpanggil untuk memberikan pandangan dan cadangan :

1. GMUKM amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

2. Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

3. GMUKM ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

4. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud:

Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.


5. GMUKM dengan tegasnya menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

6 . GMUKM mencadangkan agar pihak-pihak berwajib (JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Persatuan Mahasiswa Islam, GAMIS, badan-badan NGO, etc) :

* Meneruskan dialog bersifat intelektual bersama golongan bukan Islam supaya penggunaan kalimah Allah ini dapat diperjelaskan.
* Memperjelaskan mengenai kemurnian dan keindahan agama Islam mengikut perundangan dan sejarah Islam itu sediri.
* Untuk umat Islam pula, penjelasan yang lebih dalam akan disampaikan menerusi medium sedia ada seperti khutbah Jumaat dan forum Islam untuk menjaga keharmonian yang sedia terbentuk selama ini
* Memperluaskan ruang lingkup dakwah dan jangan persempitkan. Mantapkan gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

GMUKM dengan prihatin menyokong segala bentuk aktiviti atau program dakwah bagi menjelaskan Isu Kalimah Allah ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Cadangan rujukan - http://drmaza.com/home/?p=566

Sabtu, 31 Januari 2009