Sabtu, 6 November 2010

Dekan Baru Fakulti Pendidikan

UKM 6 November - Assalamu'alaikum warga FPend yang dihormati,

Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg Tan Sri Naib Canselor telah melantik YBhg
Prof Lilia Halim sebagai Dekan FPend bermula 1/1/11 selama tiga tahun, dan
untuk tujuan peralihan pelbagai tanggungjawab kedekanan, NC telah meminta
Prof Datin Siti Rahaya untuk meneruskan tanggujawab sebagai Dekan sehingga
31/12/10. Terima kasih dan penghargaan kpd Prof Datin di atas khidmat
cemerlang kepada Fakulti & UKM, dan tahniah kepada Prof Lilia.

Untuk Jawatan Timbalan Dekan (Penyelidikan & Hubungan Masyarakat), sukacita
sekiranya Dr Ruhizan, yang tamat tempoh pelantikannya pada 14/10/10,
meneruskan tanggungjawab yang berkenaan sehingga pelantikan dibuat oleh YBhg
Tan Sri NC.

Sekian, terima kasih.

Daripada Pejabat / From the Office of:
Prof Dato' Ir Dr Hassan bin Basri
Timbalan Naib Canselor
Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa
Universiti Kebangsaan Malaysia
(Deputy Vice Chancellor for Academic & International Affairs, National
University of Malaysia

source :

http://pkukmweb.ukm.my/fpendidikan/index.php?option=com_content&view=article&id=1&Itemid=2

Isnin, 6 September 2010

Pendidikan Seks Dari Kacamata Islam

Setiap persoalan dalam kehidupan di dunia ini telah Islam sediakan dengan garis panduan, peraturan dan penyelesaiannya supaya manusia menjalani kehidupan dengan sejahtera.


Antaranya ialah persoalan seks.

Apabila berbicara mengenai seks, Islam menganjurkan umatnya bertanya segala masalah kepada orang yang lebih alim.Saidatina Aisyah memuji sifat wanita Ansar yang berani bertanya Rasulullah SAW dalam masalah agama yang mereka tidak ketahui.

Tambahan pula persoalan seks amat berkait rapat dengan soal maruah yang menjadi satu daripada enam perkara asasi dan tonggak kesejahteraan serta keamanan sejagat selain agama, harta, nyawa, akal dan keturunan.Pengabaian persoalan seks dikatakan antara faktor menyumbang kepada kemelut sosial yang semakin meruncing di kalangan masyarakat kini.Justeru, pendidikan seks perlu diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa secara khususnya ketika mendidik anak supaya mereka menjadi insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Seks memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Menurut kamus, seks ialah keinginan nafsu syahwat yang disalurkan pada tempat sebenarnya.Dengan nafsu syahwat inilah keturunan manusia dilanjutkan.Sehubungan itu, Islam tidak ketinggalan menyediakan garis panduan kepada manusia supaya mendidik nafsu syahwat selaras nilai Islam sehingga berubah menjadi nafsu yang dirahmati dan diredai Allah.

Dari sini, baru terbina sebuah mahligai rumah tangga yang bahagia dihiasi haruman sakinah , mawaddah dan rahmah. Dari institusi kekeluargaan inilah, lahir generasi manusia yang akan menyambung keturunan untuk terus mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.Menurut perspektif Islam, pendidikan seks sebahagian daripada pendidikan akhlak yang didasari asas iman.Contoh, seorang Muslim yang beriman tidak akan menyalurkan naluri keinginan seks untuk berzina atau melakukan seks bebas, berkhalwat dan sebagainya.

Pendek kata, iman bertindak sebagai perisai utuh menghalang seorang Muslim melakukan larangan Allah. Sebaliknya iman tohor menyebabkan mereka bertuhankan hawa nafsunya dan sanggup melakukan apa saja asalkan dapat memuaskan kehendak hawa nafsunya.Konsep awal pendidikan seks dalam Islam dimulai dengan pengertian aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain.

Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut.Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan. Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.

Malah aurat adalah bahagian tubuh yang boleh membangkitkan nafsu syahwat. Sebab itu, Islam memerintahkan umatnya menutup aurat supaya tidak terdedah kepada gejala terlarang.Seterusnya, Islam memerintahkan ibu bapa memisahkan tempat tidur anak mereka apabila sampai masa dengan menyediakan bilik khusus untuk anak lelaki dan anak perempuan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bermaksud:

"Suruhlah anak kamu menunaikan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukul mereka apabila berusia sepuluh tahun (jika masih belum menunaikan solat) serta asingkan tempat tidur mereka."

(HR Tirmizi dan Abu Daud)

Selain itu, anak sewajarnya dijelaskan adab sopan dalam rumah dan luar rumah. Ibu bapa perlu mendidik mereka sejak kecil mengenai adab meminta izin dalam rumah tangga iaitu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya:

"Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umurnya) yang tersebut dahulu meminta izin."

(Surah al-Nur: 59)

Pendidikan seks juga bererti mendidik diri anak dan orang dewasa sentiasa menjaga pandangan mata. Ini bermakna seorang Muslim dilarang memandang benda haram seperti menonton filem lucah, membaca bahan lucah, melihat gambar seks dan sebagainya.

Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti dinyatakan Allah SWT dalam (Surah al-Nur: 30) yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan- Nya tentang apa yang mereka kerjakan."

Perintah menundukkan pandangan mata bukan hanya kepada lelaki malah perempuan yang turut dituntut memelihara aurat dan kehormatan mereka.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman maksudnya:

"Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka."

(Surah al-Nur: 31)

Anak juga hendaklah diajar jangan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan dan tidak berdua-duaan dengan yang bukan mahram.

Bergaul bebas antara mukadimah zina yang dilarang Islam selain perangkap yang dipasang syaitan untuk menjeremuskan umat manusia ke lembah perzinaan.

Huraian Al-Quran dan juga penjelasan hadis Rasulullah SAW berkaitan dengan proses kejadian manusia bermula dari setitik air mani hingga kepada proses kelahiran bayi, hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada anak dengan sebaik-baiknya untuk maksud membuktikan kekuasaan Allah.

Akhirnya, apabila anak mencapai umur kematangan yang melayakkan mereka membawa haluan hidup masing-masing maka ibu bapa perlu menerangkan etika hidup bersuami isteri dan berkeluarga mengikut cara Islam.

Mudah-mudahan mereka dapat membina sebuah mahligai rumah tangga bahagia yang berada di bawah keredaan Ilahi.

Sejarah membuktikan, pengetahuan manusia semata-mata tidak mampu membendung dan mendidik seks tanpa petunjuk Allah. 

Khamis, 5 Ogos 2010

Program Penandaarasan Kepimpinan Pelajar

Fakulti Pendidikan UKM telah menerima kunjungan dari delegasi Institut Pendidikan Guru Batu Lintang, Sarawak pada Khamis, 5 Ogos 2010. Kira-kira 32 orang delegasi termasuk pensyarah iringan dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dari institut tersebut terlibat dalam lawatan ini bersempena program Penandaarasan Kepimpinan Pelajar yang dianjurkan oleh IPBL bagi memantapkan kemahiran mengendalikan kebajikan pelajar di institut tersebut.



Sesi dialog selama lebih kurang dua jam telah berlangsung di antara Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPBL dengan Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan; iaitu saya, Khairul Anuar bin Mat Lazim serta saudara Wan Fahmi. Antara soalan dan maklumat yang dikongsikan ialah berkisar tentang sistem pemilihan MPP di UKM, konsep MPP dan PMUKM serta pengendalian organisasi di bawah MPP.


Di akhir lawatan, delegasi ini telah di bawa untuk melihat sekitar Fakulti Pendidikan. UKM dan IPBl adalah dua buah institusi yang cukup sinonim kerana telah sekian lama menjalinkan usahasama pengajian berkembar untuk pelajar ijazah sarjanamuda Pendidikan Bahasa Inggeris dari IPBL. Diharap lawatan ini dapat meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua buah institusi pengajian ini yang bergerak seiring untuk melahirkan golongan pendidik yang berkualiti, beriman dan mahir dalam selok-belok pentadbiran organisasi.

Sekian sahaja catatan buat kali ini.. Wallahua'lam



Selasa, 27 Julai 2010

Forum Isu Pendidikan

Assalammua'laikum..
Maaf lama sudah tidak menulis pos terbaru. Kekangan masa ketika praktikal dan menguruskan hal-hal berkaitan pengajian tahun akhir. Alhamdulillah syukur, saya masih berkesempatan meluangkan masa untuk menjemput para pambaca untuk turut sama hadir ke forum isu pendidikan anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar dan PENDIDIK.

Forum akan diadakan:
Tajuk: Forum Isu Pendidikan- Pendidikan Seks; Racun Atau Penawar?
Tarikh: 30 Julai 2010
Tempat: DK 43.101 Dewan Tun Abdullah M Salleh, UKM.
Masa: 8.00 mlm- 11mlm
Panelis: PM Dr. Harlina Siraj, Ustaz Mohd Zamri dan Tuan Musa Awang.
Moderator: Ust. Mohd Ajwadi.

Seluruh warga UKM; pelajar, kakitangan dan pensyarah dijemput hadir.

Adalah besar harapan kami untuk menerima kehadiran anda bagi sama-sama memantapkan ilmu dan berkongsi pendapat

Ahad, 23 Mei 2010

Pertemuan Bersama TNC HEPA UKM

UKM 23 Mei - Alhamdulillah. Saudara Fahmi (MPP Fpend 1&2) telah mengadakan pertemuan bersama TNC HEPA UKM, PRof. Dato' Dr. MOhamad Abdul Razak pada 18 Mei lepas bertujuan untuk berbincang tentang beberapa perkara berkaitan isu-isu kebajikan pelajar. Pertemuan beliau dengan TNC HEPA antara lain membincangkan masalah pelajar aktif kolej yang tidak mendapat tempat di kolej kediaman yang dipohon, serta masalah yang timbul di Fakulti Pendidikan seperti masalah pertembungan jadual kursus pelajar yang memerlukan perhatian pihak pentadbiran. Prof Dr bersetuju untuk berbincang perkara tersebut bersama pegetua2 kolej dan pihak yang berkenaan

.

Selasa, 5 Januari 2010

Kalimah Allah

5 Jan, selasa - Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) terpanggil untuk memberikan pandangan dan cadangan :

1. GMUKM amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

2. Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

3. GMUKM ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

4. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud:

Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.


5. GMUKM dengan tegasnya menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

6 . GMUKM mencadangkan agar pihak-pihak berwajib (JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Persatuan Mahasiswa Islam, GAMIS, badan-badan NGO, etc) :

* Meneruskan dialog bersifat intelektual bersama golongan bukan Islam supaya penggunaan kalimah Allah ini dapat diperjelaskan.
* Memperjelaskan mengenai kemurnian dan keindahan agama Islam mengikut perundangan dan sejarah Islam itu sediri.
* Untuk umat Islam pula, penjelasan yang lebih dalam akan disampaikan menerusi medium sedia ada seperti khutbah Jumaat dan forum Islam untuk menjaga keharmonian yang sedia terbentuk selama ini
* Memperluaskan ruang lingkup dakwah dan jangan persempitkan. Mantapkan gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

GMUKM dengan prihatin menyokong segala bentuk aktiviti atau program dakwah bagi menjelaskan Isu Kalimah Allah ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Cadangan rujukan - http://drmaza.com/home/?p=566